Contributed by hajimat on Tuesday, March 27 @ 08:45:00 MYT Topic: KOMENTAR http://www.beritakmu.net.my
SJER atau South Johore Economic Region yang kini dikenali pula dengan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) merupakan langkah tersusun Singapura dalam usahanya mengatasi masalah kekurangan tanah negara tersebut yang begitu kritikal.
Tidak syak lagi bahawa Idea ini datangnya dari seberang Tambak Johor. Bukan idea Pak Lah atau KJ. Ianya telah dipupuk sekian lama, menanti masa dan saat yang baik untuk dilaksanakan. Pengunduran Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan detik permulaan terbaik bagi mereka. KJ, Kalimullah dan Pak Lah pula merupakan kuda tunganggan terbaik bagi mereka.
Berasaskan kepada strategi perluasan wilayah yang digunakan oleh Israel, penaklukan Johor ini sudah tentu terbahagi kepada beberapa peringkat. Peringkat pertama merupakan “perang saraf” yang bertujuan menguasai pemikiran rakyat Johor khasnya bagi meminimakan tentangan kepada pelaksanaannya.
Peringkat kedua ialah “menguasai” pihak-pihak berkuasa yang terlibat dalam pelaksanaannya dari peringkat paling tinggi hingga ke peringkat daerah dan tempatan. Peringkat terakhirnya kini sudah pun bermula.
Sebagaimana ketat mereka mengawal tanah pulau sekangkang kera yang mereka perolehi, begitulah kelak mereka bakal mengawal daerah SJER ini.
Sepuluh atau lima belas tahun lagi akan terbinalah tembok-tembok konkrit yang memisahkan kawasan ini dengan lain-lain tanah negeri Johor, mungkin disebabkan “ancaman-ancaman” keselamatan yang bakal sengaja diwujudkan mereka ketika itu.
Demi menjaga kebajikan jiran tetangga, pihak berkuasa Malaysia sudah tentu akan di”paksa” sampai ke tahap membenarkan tentera dan polis Singapura masuk menjaga keselamatan daerah tersebut.
Teringat saya kepada kisah seorang rakan saya yang telah mewarisi sepuluh ekar tanah dusun simpanan Melayu di Beranang. Beliau begitu bangga dan sayang akan kebunnya ini. Sebaik sahaja bersara dari perkhidmatan beliau terus menjadikan dusun ini sebagai “markas” baru perjuangannya.
Setelah setahun berlalu masalah kewangan mula menghimpitnya. Maklumlah pencen tidak seberapa. Disebabkan tiada pilihan beliau terpaksa “makan gaji” semula sebagai Pengawal Keselamatan. Waktu kerja tidak menentu dan waktu lapang terpaksa diisi dengan kerja lebih masa demi kesinambungan hidup.
Dalam pada itu muncul tawaran dari seorang taukeh sayur untuk menyewa tanah dusun tersebut untuk dijadikan kebun sayur cekor manis. Kadar sewanya RM250 seekar setahun. Kalau dikali sepuluh ekar bermakna RM2,500 setahun. Tiba-tiba fikiran yang buntu disebabkan kesempitan wang serta keletihan kerana waktu kerja yang amat panjang, bertukar menjadi ceria, segar dan lapang. Wah! Mungkin Tuhan sudah memakbulkan doanya selama ini fikirnya.
Taukeh yang baik hati dan sentiasa manis kata-kata dan murah senyuman ini menawarkan pula untuk menyewa selama sekurang-kurangnya 10 tahun. Konon katanya bagi membolehkan beliau dapat balik modal. Setelah merayu dan meminta belas kesihan, maka taukeh yang baik hati ini bersetuju membayar secara tunai jumlah sewa bagi sepuluh tahun itu sebanyak sebanyak RM25,000.
Kalau tidak kerana usia yang meningkat serta perasaan malu dengan anak cucu, mau rasanya rakan saya ini menangkap dan mencium tangan taukeh tersebut. Dua hari lepas itu, rakan saya ini pergi ke bank dan mendapati jumlah RM25,000 itu sudah masuk akaunnya. Mulutnya tidak berhenti komat-kamit dengan doa kesyukuran atas limpah kurnia Allah ini.
Dipendekkan cerita, dalam masa tak sampai setahun habislah RM25,000 itu dibelanja dengan baik termasuklah melangsaikan hutang keretanya. Wal hasil balik asal, rakan saya ni pun kerja semula sebagai Pengawal Keselamatan.
Kebetulan satu hari dia terjumpa rakan lamanya yang juga sudah bersara kini hidup mewah sebagai ejen hartanah. Cerita punya cerita, tak lama lepas itu rakan ejen ini telah berjaya mendapatkan seorang pembeli tanah kebun rakan saya ini, yang sanggup membayar sehingga RM20, 000 se ekar untuk projek ternakan ayamnya. Ini bermakna rakan saya boleh dapat RM200,000 bagi sepuluh ekar. Tolak komisyen dan cukai dapatlah RM150,000, bayar balik pendahuluan sewa RM25,000 ada baki RM125,000 lebih lagi fikirnya.
Gembira tidak terkata rakan saya ini, macam bulan jatuh ke riba. Terbayanglah dia dan isterinya di Tanah suci Mekah tahun depan. Rakan saya ini bersetuju dan berjanji akan memaklumkan perkara ini kepada taukeh sayur yang menyewa kebunnya.
Taukeh ini kata tidak jadi masalah kepadanya jika kebun itu dijual kepada orang lain asalkan rakan saya ini sanggup bayar ganti rugi pokok-pokok sayurnya. Setiap ekar ada antara 500 hingga 600 pokok. Jadi dalam sepuluh ekar itu ada lebih kurang 5,000 pokok sayur cekur manis. Taukeh ini minta bayar ganti rugi sebanyak RM50 sepokok atas kos bajak, benih, baja dan upah jagaannya. Congak punya congak, jumlah semua ganti rugi yang diminta ialah RM250,000 sahaja.
Ternganga mulut rakan saya. Kira punya kira, beliau bakal jadi macam berniaga buluh kasap. Akhirnya niat menjual terpaksa dibatalkan dan hajat ke tanah suci Mekah terpaksa ditangguhkan. Hingga hari ini rakan saya ini masih kerja sebagai Pengawal Keselamatan dan sudah sembilan tahun taukeh sayur tersebut masih tetap kekal menduduki kebunnya. Kini beliau terus menerus memikirkan jalan keluar terbaik mengatasi masalah ini. Nasib beliau seterusnya dapatlah kita sama-sama bayangkan.
Mungkin nasib SJER ini tidak sama dengan nasib rakan saya. Apakah kita hanya perlu berdoa dan duduk menunggu kalau-kalau bakal terjadi ulang tayang cerita Pak Kadok. Wallahualam.
1 comment:
Baru saja letak blog anda sebagai dalam blogroll. Terima kasih diatas sokongan di KMU, MT dan dimana2 saja. Ayoh kita bersatu
Post a Comment