Wednesday, April 4, 2007

Penjajahan Rimba Malau.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, bagi tahun 2004, lebih 200 juta orang telah menyalahgunakan dadah (addictive drugs) di seluruh dunia. Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak US$322 billion (RM1,159.2 billion) dadah telah diperdagangkan di seluruh dunia. Angka ini melebihi 88% KNK negara-negara seluruh dunia.

Perdagangan yang sebesar ini sudah tentulah dikendalikan oleh saudagar-saudagar dadah yang kaya raya terdiri dari berbagai bangsa di seluruh dunia. Mereka ini merupakan jenis manusia mata-duitan yang sanggup melakukan apa saja untuk hidup mewah, walaupun atas penderitaan dan kesengsaraan manusia lain. Dengan wang yang begitu banyak mereka mampu terus bolos dari undang-undang. Mereka mempunyai rangkaian-rangkaian pengedaran yang serba lengkap dan tersusun serta mempunyai askar-askar upahan mereka sendiri.

Kebanyakan mereka ini adalah manusia yang memiliki dua pesonaliti. Dari satu sudut mereka mungkin kelihatan seperti seorang hartawan yang baik hati dan dermawan. Sementara di suatu sudut lagi mereka bertukar menjadi ketua-ketua sindikit yang ganas dan licik. Mereka berselindung di sebalik berbagai syarikat-syarikat perniagaan besar yang berwibawa yang dibeli secara tunai untuk dijadikan kubu-kubu bagi melindungi kegiatan durjana mereka. Mereka merupakan orang-orang yang berpengaruh, disegani dihormati oleh masyarakat.

Salah sebuah negara dunia ketiga yang sedang tenat memerangi penyalahgunaan dadah ini ialah negara Rimba Malau yang mempunyai penduduk seramai 24 juta orang terdiri dari berbagai bangsa. Menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh kerajaan negara itu terdapat lebih 270,000 penagih tegar di seluruh Rimba Malau. Yang lebih menggerunkan rakyatnya ialah apabila 75% dari penagih-penagih ini didapati telah dijangkiti HIV.

Berbagai usaha telah dan sedang dijalankan oleh kerajaan Rimba Malau bagi mengatasi masalah negara ini. Terdapat 29 pusat-pusat pemulihan dadah di seluruh negara itu yang hanya mampu merawat seramai 8,000 atau 3% penagih pada satu-satu masa. Dengan kos harian sebanyak RM10 setiap penagih, kerajaan Rimba Malau membelanjakan kira-kira RM80,000 setiap hari atau RM29.2 juta setahun.

Kajian oleh Pemadam dan Pengasih serta beberapa NGO menunjukkan 99% dari yang selesai menjalani rawatan akan berbalik kepada tabiat asal mereka. Angka sebenar penagih tegar seluruh negara itu dianggarkan melebihi setengah juta. Ini merupakan suatu “pasaran dadah” yang amat besar. Yang membimbangkan kerajaan Rimba Malau ialah 99.5% penagih ini adalah terdiri dari anak negeri mereka sendiri dari keturunan Malau.

Ramai yang beranggapan bahawa kegiatan pengedaran dadah di negara ini merupakan “Perang Candu” yang dirancang rapi oleh musuh negara itu dan ditujukan khas bagi melemahkan anak bangsa Rimba Malau dan seterusnya menjajah negara tersebut yang kaya dengan hasil bumi.

Bahagian kedua – Jihad Dadah Rimba Malau.

No comments: